PERLEMBAGAAN

UNDANG-UNDANG BAGI
PERSATUAN ALUMNI POLITEKNIK SHAH ALAM

Fasal 1 NAMA

Persatuan ini akan dikenali dengan nama :
PERSATUAN ALUMNI POLITEKNIK SHAH ALAM, SELANGOR

Selepas ini disebut sebagai “Pertubuhan”

 

Fasal 2 TEMPAT URUSAN

Alamat dan tempat urusan Persatuan ialah :

d/a: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Persiaran Usahawan
Seksyen U1
40150 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

Fasal 3 TUJUAN/MATLAMAT

TUJUAN MATLAMAT

(1) Memupuk, mengekal dan mewujudkan komunikasi yang baik diantara semua bekas pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

(2) Bertindak sebagai wakil kepada semua ahli Persatuan Alumni PSA bagi mewujudkan hubungan yang harmoni di antara ahli persatuan dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

(3) Menggalakkan kegiatan-kegiatan sosial dan amal kebajikan untuk ahli-ahli atau untuk orang perseorangan atau badan-badan atau persatuan-persatuan atau institusi-institusi yang mana Jawatankuasa merasakan perlu.

(4) Menganjurkan seminar, aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan, kerohanian, kebajikan serta lain-lain aktiviti dikalangan ahli Persatuan Alumni PSA.

(5) Mendapatkan maklumat dan memaklumkan kepada semua ahli Persatuan Alumni PSA.

(6) Mengumpulkan kepakaran bekas pelajar dikalangan ahli persatuan alumni bagi membantu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran graduan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

(7) Merangka dan merancang program-program pembangunan Persatuan Alumni PSA untuk jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang serta menyeluruh.

 

Fasal 4 KEAHLIAN

SYARAT-SYARAT KEAHLIAN

(1) Keahlian Persatuan ini adalah seumur hidup dan terbuka kepada semua bekas pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang telah menamatkan pengajian secara sepenuh masa atau secara sambilan.

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah menggunakan borang keahlian yang disediakan dan mengemukakan kepada Setiausaha Persatuan yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk tujuan kelulusan Ahli Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3) Bagi setiap permohonan yang telah diluluskan pemohon hendaklah membayar yuran keahlian sebelum diterima menjadi ahli Persatuan Alumni PSA yang sah.

 

Fasal 5 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli persatuan, hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungannya itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

Fasal 6 SUMBER KEWANGAN

BAYARAN YURAN KEAHLIAN

(1) Bayaran yuran keahlian seumur hidup untuk ahli adalah sebanyak RM50.00 (Ringgit Malaysia : Lima Puluh Sahaja).

(2) Bayaran yuran keahlian hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Kehormat dan hendaklah dibayar sekali gus semasa mengemukakan borang permohonan menjadi ahli persatuan.

 

Fasal 7 MESYUARAT AGUNG

MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahlinya. Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir didalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika jumlah korum tidak mencukupi selepas satu jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Jika jumlah korum tidak mencukupi selepas satu jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka bolehlah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mac pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah :

a. Menerima Laporan Jawatankuasa Persatuan berkenaan perjalanan persatuan pada tahun sebelumnya.
b. Menerima Laporan Bendahari Kehormat dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun sebelumnya.
c. Memilih Ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang.menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan didalam mesyuarat itu.
d. Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan didalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha Kehormat hendaklah memaklumkan melalui apa jua saluran komunikasi yang sesuai kepada ahli-ahli sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mesyuarat agung tahunan diadakan beserta satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi persatuan ini boleh diadakan :

a. Bila difikirkan mustahak oleh Ahli Jawatankuasa atau

b. Atas permintaan bertulis tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli sekurang-kurangnya 20 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

(8) Fasal 8(1) dan 8(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan. Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan dalam masa 6 bulan dari tarikh Mesyuarat Agung Khas tersebut.

(9) Perlantikan jawatankuasa adalah dua (2) tahun sekali. Perlantikan hendaklah dibuat di dalam Mesyuarat Agung.

 

Fasal 8 JAWATANKUASA

JAWATANKUASA

(1) Satu jawatankuasa seperti berikut hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan :

– Seorang yang Dipertua
– Seorang Timbalan Yang DiPertua
– Seorang Setiausaha Kehormat
– Seorang Naib Setiausaha Kehormat
– Seorang Bendahari Kehormat
– 14 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

(2) Pemegang-pemegang jawatan persatuan yang menjalankan tugas eksekutif dalam persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

(4) Jawatankuasa bagi Setiausaha hendaklah di lantik oleh Yang DiPertua sahaja.

(5) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan aktiviti persatuan. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(6) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 1 kali dalam tempoh enam (6) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Yang DiPertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang Ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(7) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat boleh mendapatkan surat kelulusan dari Ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling . syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawtankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima :

(a) Masalah yang dibangkitkan hendaklah diperincikan dengan jelas di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa.
(b) Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu, dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan didalam peringatan mesyuarat.

(8) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

 

Fasal 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

KEWAJIPAN  JAWATANKUASA

(1) Yang DiPertua dalam tempoh menyandang jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Ahli Jawatankuasa dan bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama Bendahari Kehormat.

(2) Timbalan Yang DiPertua hendaklah memangku jawatan Yang DiPertua semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat atau kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan.

Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat tetap.

Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Persatuan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Persatuan 1966.

(4) Naib Setiausaha Kehormat hendaklah membantu Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaannya.

(5) Bendahari Kehormat bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani cek bersama-sama dengan Yang DiPertua.

(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa kehormat dalam menjalankan tugas yang diarahkan kepadanya.

 

Fasal 10 KEWANGAN

KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan aktiviti persatuan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan ahli jawatankuasa dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman mahkamah.

(2) Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM200.00 (Ringgit Malaysia : Dua Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu hendaklah dimasukkan ke dalam akaun bank yang diluluskan oleh jawatankuasa Kira-kira dan bank itu hendaklah di atas nama persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun persatuan yang bernilai tidak melebihi RM1,000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja) hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua dan Bendahari Kehormat.

(4) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun persatuan yang bernilai melebihi RM1,000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja) hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua dan Bendahari Kehormat dengan syarat mendapatkan kelulusan dari jawatankuasa terlebih dahulu.

(5) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan yang bernilai lebih daripada RM20,000.00 (Ringgit Malaysia : Dua Puloh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu.

(6) Penyata dari hal yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan persatuan.

(7) Tahun Kewangan Persatuan ini bermula dari 01 Januari dan berakhir pada 31 Disember setiap tahun.

 

Fasal 11 JURUAUDIT

PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya Jawatankuasa Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang DiPertua mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 

Fasal 12 PENTADBIR HARTA / PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga orang pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh persatuan. Semua harta tetap kepunyaan persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust)

(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik, atau memindahkan hak milik harta kepunyaan persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.

(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pengamanah baru yang dilantik di alam Mesyuarat Agung.

 

Fasal 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, jawatankuasa boleh memberikan tafsiran kepada undang-undang ini dan jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkar-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

 

Fasal 14 PENASIHAT / PENAUNG

Jawatankuasa boleh melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung (jika perlu) bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

 

Fasal 15 LARANGAN

(1) Permainan yang disebut di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam persatuan ini :

Raulette, Lotto, Fan Tan, Peh Bin, Belankai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puloh Satu, Tiga Puloh Satu, Sepuloh dan Setengah, semua permainan dadu, banker game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan cara apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di alam Kesatuan Sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan sekerja 1959.

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak atas nama persatuan atau pegawai-pegawai atau jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Petubuhan 1966, tidak boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

 

Fasal 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN

PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pidaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Persatuan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.

 

Fasal 17 PEMBUBARAN

PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini tidak bolah dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftaran Pertubuhan dalam masa 14 hari dan tarikh pembubaran itu.

 

Fasal 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

1. Bendera

2. Lambang

Keterangan

(1) Keterangan Lambang

AlumniPSA

Perkataan Alumni PSA adalah merujuk kepada persatuan yang ditubuhkan oleh bekas pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dulu dikenali sebagai Politeknik Shah Alam

Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan sebuah institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang melahirkan graduan dalam bidang Perdagangan dan Kejuruteraan.

(2) Keterangan Warna

Warna Merah

Warna merah membawa maksud cita-cita serta misi persatuan yang sentiasa bersemangat, yakin teguh dan kesatuan hati di antara ahli-ahlinya bagi memastikan persatuan ini sentiasa bergerak aktif.

Warna Kuning

Warna kuning membawa maksud keteguhan, dedikasi dan komitmen dikalangan ahli Persatuan Alumni PSA

3. Lencana